Tuesday, April 21, 2009

Wartawan, Penulis dan Jurufoto Dipelawa Daftar PKWPMM

17/3/2009 3:23:28 PM

Pengirim: Samsudin Bin Oli Mohamed


JITRA – Wartawan, penulis, jurufoto, pemberita sambilan, bekas wartawan dan penulis blog melayu samada media cetak ataupun media elektronik dipelawa mendaftar sebagai ahli dalam Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia (PKWPMM) bagi menyatu dan melindungi kepentingan golongan ini samada dalam bentuk kebajikan ataupun pekerjaan.

Presiden pertama PKWPMM Dr Alias Mohamed berkata, penubuhannya ialah untuk memperjuangkan hak dan nasib mereka dalam arena kewartawanan dan juga penulisan.

Katanya walaupun Gapena dan Pena telah mewakili badan penulis namun ruang lingkup yang luas seperti bekas wartawan dan jurufoto atau wartawan sambilan juga perlu diletakkan ditahap yang tinggi kerana mereka juga memainkan peranan yang sama cuma tidak dilantik sebagai kakitangan tetap dalam sesebuah syarikat akhbar.

Menyentuh mengenai aktiviti yang telah dirancang dan akan dijalankan dalam pertubuhan ini beliau berkata pihak jawatankuasa telah bermesyuarat dan mengariskan beberapa aktiviti antaranya mengadakan landasan kegiatan inetelektual, sosial, aktiviti penulisan, forum, seminar, mengadakan kunjungan dan menjalinkan hubungan dengan wartawan dan penulis melayu di negara-negara Asean khususnya.

“Seperkara yang menarik lagi keuntungan dan hasil daripada wang yang dikumpul oleh pertubuhan ini akan digunakan untuk memberi peluang kalangan ahlinya untuk menimba ilmu atau untuk memajukan diri mereka,”katanya lagi.

Dr Alias berkata, penyertaan untuk menjadi ahli terbuka kepada semua orang melayu yang menjadi wartawan, penulis, jurufoto, bekas wartawan atau jurufoto, penulis blog dimana-mana akhbar, majalah atau internet samada sebagai ahli biasa, ahli bersekutu atau ahli kehormat.

Pihaknya juga mengalu-alukan penyertaan dikalangan intelek atau mana-mana organisasi yang ingin turut serta dan memajukan pertubuhan ini.

Bagi kalangan pelajar untiversiti dan kolej-universiti mereka juga boleh diterima sebagai ahli tetapi perlu mendapat kebenaran secara bertulis dari Naib Canselor atau Rektor mereka mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Mesyuarat Agung pertamanya yang dirasmikan oleh Perunding Kanan ISIS Tan Sri Dato’ Mazlan Nordin di Universiti Malaya baru-baru ini juga menyaksikan Dr Alias Mohamed telah dilantik sebagai Presiden pertama PKWPMM.

Turut dilantik Mior Kamarulbaid Mior Shahid (Timbalan Presiden), Mohd Salleh Anjah (Setiausaha Agung), Tajuddin Saman (Bendahari Agung), Jamudin Idris (Penolong Setiausaha Agung) dan ahlijawatankuasa lain yang dilantik ialah Abdul Rahim Abdullah (Agama) Rahamah Saad, Md Radzi Mustapha (Politik), M.Hanafiah A. Samad (ekonomi), Abdul Manan Oshman, Wan Ahmad Wan Hassan, Azhar Kasim (Budaya), Endut Mat Ali, Saad Nordin, Samsudin Oli Mohamed (Pendidikan), Mohamad Ibrahim dan Rahim Lajis.

Sempena mesyuarat agungnya tiga ahli panel turut dijemput untuk membincangkan forum “Peranan Media Kerajaan dan Media Swasta Dalam Memperkasakan Agenda Negara” iaitu Pensyarah, Pusat Pengajian Media dan komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Norila Mohd Daud, Penulis Blog Zaharin Mohd Yasin dan di Pengerusikan oleh Datuk Ahmad Rejal Arbee.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi ahli pertubuhan ini boleh menghubungi 03-92831316 /03-92822903 (Kuala Lumpur), 019-4502088 (Pulau Pinang), 012-4493938 (Kedah), 017-4009323 (UUM / Perlis) dan 012-5304137 (UUM / Kedah).

Daripada:
Samsudin Bin Oli Mohamed
Pengerusi Biro Pendidikan
PKWPMM
Tel: -017-4009323

No comments:

Post a Comment