Tuesday, April 21, 2009

Mengkhutbahkan isu penjagaan alam sekitar

Oleh: Tajuddin Saman

USAHA membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan memulihara alam sekitar terus dipergiatkan secara intensif oleh pihak yang bertanggungjawab, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.


Baru-baru ini dalam kempen kesedaran melalui Minggu Alam Sekitar Kebangsaan 2006, satu pendekatan khas bagi memenuhi tujuan itu dilaksanakan menerusi mimbar khutbah Jumaat di semua masjid di seluruh negara.

Kandungan teks khutbah itu disediakan tokoh agama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kerjasama antara Jabatan Alam Sekitar dan Jakim tentunya akan membuahkan hasil yang amat positif.

Jakim mempunyai banyak input mengenail hal ehwal alam sekitar menurut pandangan Islam. Justeru, kerjasama antara Jakim dan JAS pasti akan memantapkan lagi usaha ke arah membangkitkan kesedaran masyarakat, khususnya di kalangan umat Islam sendiri.

Umat Islam sewajarnya merasakan diri masing-masing bertuah kerana agama kita amat mementingkan kebersihan diri dan alam sekitar.

Sebagaimana yang disarankan dalam khutbah khas itu, kita harus menghargai setiap pemberian nikmat daripada Allah yang menjadi keperluan asas bagi kehidupan dengan sebaik mungkin, terutama nikmat air, udara, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan ciptaan lain sebagai pelengkap kepada kelangsungan kehidupan manusia di muka bumi ini.

Manusia diamanahkan sebagai ‘khalifah’ untuk memikul tanggungjawab mengurus dan mengatur alam ini dengan baik di samping mengguna pakai segala keperluan untuk urusan kehidupan masing-masing secara berhemah tanpa melanggar segala batasan yang digariskan oleh Allah dalam al-Quran dan hadis Rasulullah.

Allah berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya. Dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan berharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.”

Namun, manusia tetaplah manusia. Naluri dan langkah perbuatannya tetap berbeza antara satu dengan lain. Ada antara kita yang bersedia mengikuti lunas yang digariskan Islam manakala tidak kurang pula yang terlupa hakikat diri dan kehidupan yang sementara di dunia ini lalu melakukan segala-galanya berpandukan permintaan nafsu semata-mata.

Justeru, hari ini masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, air, pembuangan sisa toksik, penebangan hutan tidak terkawal, pengurangan sumber bumi dan seumpamanya menyebabkan berlaku dan hilangnya ketidakseimbangan kepada alam sekitar itu sendiri.

Permasalahan ini kian menjadi ancaman kepada manusia dan alam. Ia juga menjadi topik perbincangan yang semakin hangat diperkatakan pelbagai lapisan masyarakat.

Persoalan ini asalnya bermula daripada sikap tamak dan lalai manusia sendiri - tidak kira sama ada ia sikap seorang pekerja biasa atau pengusaha firma yang mengeluarkan bahan mencemarkan alam sekitar atau pembuat dasar yang akan turut memberi kesan tertentu kepada alam kita ini.

Pengabaian sikap manusia terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar itu boleh menjurus kepada timbulnya ‘krisis’ yang terpaksa ditanggung bebannya oleh semua orang.

Ironinya ialah pelaku yang ‘mengancam dan memusnahkan’ alam sekitar itu mungkin hanya 000.1 peratus sahaja tetapi yang terpaksa menanggung risikonya ialah seluruh penduduk, termasuk flora dan fauna serta segala isi alam anugerah Allah ini.

Hakikat inilah yang menyebabkan pihak yang bertanggungjawab mengambil pelbagai pendekatan untuk membangkitkan kesedaran umum terhadap soal pemuliharaan alam sekitar.

Kita tidak boleh lagi menganggap persoalan ini sebagai perkara remeh-temeh dan tidak perlu diberikan perhatian mendalam.

Sebaliknya, bayangkan apa akan terjadi kalau sungai kita penuh dengan keladak sampah-sarap, sisa toksik dan semakin kering kontang? Kalau ini terjadi, di mana kita mahu mencari air untuk diminum dan untuk kegunaan lain?

Ketika ini keadaan berkenaan belum terjadi lagi dan sungai kita, walaupun ada yang tercemar tetapi kita masih lagi boleh ‘bermewah-mewah’ menggunakan airnya tetapi sekiranya semua ini tidak dijaga dan dirawat dengan baik serta betul, segala kemungkinan boleh saja berlaku.

Justeru, sebelum terhantuk, eloklah kita tengadah dahulu tetapi kalau sudah berlaku, perkataan apa pun tidak mungkin boleh mengubatinya lagi.

Waktu itu, kita mungkin tidak mahu menyalahkan diri sendiri, tetapi dalam keadaan sedemikian kelak (jika ia terjadi), keadaan yang terbalik mungkin berlaku iaitu ‘diri kita akan menyalahkan kita’ kerana selama hidup ini kita sentiasa menganggap soal pemuliharaan alam sekitar ini sebagai perkara yang remeh-temeh atau perkara ‘main-main’ saja.

Hal ini mengingatkan penulis kepada sinopsis filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee ‘Pendekar Bujang Lapok’ di mana anak gadis guru silat pak guru Wak Mustarjo dilarikan perompak. Waktu dia mengejar perompak itu, dia terserempak dengan Ramlee, Aziz dan Sudin yang kebetulan masa itu sedang ‘bertapa’ di tanah kuburan itu.

Melihat muridnya, Wak Mustarjo segera memaklumkan apa yang terjadi. Malangnya ketiga-tiga murid itu menjawab: “Cobaan!!”

Apakah nanti kalau air di sungai kita benar-benar penuh keladak sampah, sisa toksik dan segala macam bahan buangan lain, kita juga akan menjerit perkataan yang sama? Adegan filem dan realiti kehidupan tentu banyak bezanya.

Sumber: Harian Metro Online (Minda)

No comments:

Post a Comment