Berita Harian
21 Jun, 2004
ms 11
Rencana
SEPANJANG zaman, ilmu menjadi penyuluh kehidupan dan penjana intelektual manusia ke arah kesejahteraan. Mengikut Islam, ilmu yang seimbang pula akan melorongkan manusia kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.
Pengarah Pusat Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Yusof Othman, berkata bagi sarjana Barat, umumnya tingkah laku manusia adalah dijana oleh rangsangan yang diberikan oleh seseorang kepada suasana persekitarannya.
Justeru, wujud perbincangan yang hebat mengenai tingkah laku manusia seperti yang dikemukakan ahli psikologi Barat yang terkenal seperti Freud, Skinner, Carl Roger, Abraham Maslow dan lain-lain.
Dalam hubungan itu, kalangan sarjana Islam tidak menolak kajian yang dilakukan oleh sarjana Barat.
Namun, bagi sarjana Islam seperti Ibn Khaldun, al-Ghazali, Ibn Sina, Syed Hossein Nasr dan lain-lain, ilmu mempunyai hierarki tersendiri dan manusia mempunyai beberapa tingkatan intelek yang membolehkannya menjana tingkah lakunya kepada persekitaran seperti berjiwa sensitif, rasional dan menjadi ejen keintelektualan itu sendiri.
Dr Yusof berkata, setiap tahap intelek itu mempunyai fungsi yang tersendiri tetapi berada dalam jiwa yang satu yang membangunkan manusia. Ilmu dan pemikiran adalah dua elemen yang saling berhubung kait antara satu sama lain. Banyak persoalan, pendekatan yang berkisar kepada pro dan kontra sering diperkatakan mengenai hal ehwal pemikiran ini.
Dalam pada itu, katanya, kita juga turut gusar dengan pendekatan yang kadang kala menolak fungsi utama yang ada pada seseorang insan, yakni fungsi roh.
Dr Yusof yang juga profesor di Jabatan Fizik UKM berkata, pemikiran dalam konteks sarjana Barat hanya menekankan aspek intelektual dan kaedah berfikir yang diasaskan kepada pemikiran logik, mantik, rasional dan mengkesampingkan persoalan roh, malah sebahagian daripada mereka menolak langsung fungsi roh itu.
Akibatnya, bagi sebahagian sarjana Barat, pemikiran adalah unsur terpenting untuk mengeksploitasi segala apa yang ada di sekitarnya. Kaedah tertentu yang dimulai dengan aspek pemikiran digunakan dalam proses eksploitasi ini.
Dari aspek lain pula, jelasnya, sebahagian sarjana membataskan pemikiran hanya sebagai kegiatan minda yang beroperasi dalam tempurung kepala manusia.
Ahli neurologi, misalnya melihat bagaimana pemikiran terjana melalui proses penghantaran maklumat, pencernaan dan analisis dan bagaimana proses kognisi berlaku kepada diri seseorang insan.
Bagaimanapun, pada pandangan sarjana Islam, pemikiran tidak dapat dipisahkan daripada amalan yang memerlukan kepada tata kaedah pemikiran itu sendiri. Ini termasuk dalam tata kaedah berfikir yang menjana pemikiran adalah adab, akhlak dan nilai estetika serta etika tinggi yang berpaksi kepada tuntutan rohani.
Dr Yusof yang setakat ini menghasilkan hampir 20 buku ilmiah, termasuk sains fizik dan agama, berkata, ilmu yang dijanakan hasil daripada diri yang bersedia untuk melakukan proses berfikir, mendapatkan maklumat setepat mungkin dan memberikan makna terbaik kepada maklumat yang diperoleh dalam lingkungan tertentu, menjamin kelangsungan sesuatu ilmu itu agar terus berkembang subur.
Namun, hakikat sebenar manusia mendapatkan ilmu adalah untuk menentukan kebenaran hakikat mengenai kedudukan sesuatu perkara. Bagi sarjana Islam, ilmu bukan sekadar kedatangan maklumat kepada diri insan mengenai kedudukan sesuatu perkara.
“Orang berilmu bukan sekadar orang yang informatif, tetapi juga orang yang dapat memahami hakikat mengenai kedudukan sesuatu perkara, menghadirkan makna mengenai maklumat yang diperoleh berdasarkan falsafah dan lingkungan yang menghasilkan maklumat itu.
Melihat pelbagai aspek itu, sudah tentu kita dapat berasakan betapa ilmu itu terlalu penting dalam kehidupan insan. Ilmu tidak mempunyai sebarang erti kepada seseorang sekiranya ia tidak membantu orang itu berperanan dalam kehidupan di dunia ini” katanya.
Dr Yusof berkata, sewajarnya lebih banyak ilmu yang diperoleh seseorang, lebih tinggi fungsi yang dapat dimainkan untuk memakmurkan alam dalam lingkungan di mana seseorang itu berada.
Lebih menarik, Dr Yusof berkata, ilmu juga seharusnya dapat meningkatkan kerjaya seseorang.
Lebih lama seseorang itu menceburi sesuatu bidang kerjaya, lebih fahamlah dia mengenai kedudukan dirinya dalam perspektif pembangunan masyarakat keseluruhannya.
Malah, dalam aspek tertentu, dia juga dapat memahami peranan dirinya dalam memajukan sesebuah organisasi.
Sebagai penjana ilmu dan makhluk yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi Allah ini, manusia juga perlu tahu bagaimana cara dan kaedah untuk berusaha ke arah meningkatkan ilmu yang ada pada dirinya.
Sekiranya diterima bahawa maklumat itu asas kepada penjanaan dan peningkatan ilmu, maka usaha untuk mendatangkan maklumat sebanyak mungkin perlu dilaksanakan.
Oleh sebab pada masa yang sama manusia tidak boleh membebaskan dirinya daripada aspek kerohanian, maka usaha mendatangkan maklumat tidak boleh dipisahkan daripada usaha meningkatkan adab dan akhlak yang baik.
Ilmu dan sistem nilai mendatangkan maklumat kepada diri di samping untuk mengenali nilai terpuji, seseorang itu memerlukan pengalaman.
Di antara realiti yang ingin dicapai pada keadaan sebenar yang berada dalam lingkungan ilmu yang ingin ditingkatkan, ada pengalaman diri. Ini memerlukan hikmah.
Walaupun tidak dapat dinafikan hikmah adalah anugerah Allah kepada manusia, kegagalan manusia merealisasikan hakikat sebenar mengenai sesuatu perkara akan mencacatkan pembangunan keilmuan.
Saidina Ali pernah menyebut bahawa hikmah adalah ‘barang’ yang amat berharga yang mungkin hilang daripada umat sekiranya tidak diusahakan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya
Dr Yusof berkata, walaupun secara unggulnya melalui ilmu yang dimiliki manusia inginkan kesempurnaan, tetapi kesempurnaan itu sendiri adalah keunggulan yang tidak mungkin dicapai sepenuhnya.
Dengan demikian, antara keunggulan yang ingin dicapai dan ketidaksempurnaan dan ketidakpuasan diri mengenai kedudukan suasana sebenar yang ada akan memungkinkan manusia untuk terus berusaha meningkatkan pencapaian diri, organisasi dan masyarakat mereka.
Rasa tidak puas hati dengan apa yang ada sewajarnya tidak mendatangkan kekecewaan kepada manusia, tetapi sebaliknya menjadikan manusia terus berusaha untuk mencapai keunggulan dan kesempurnaan yang diidamkan.
Ilmu sebenar yang dimiliki oleh seseorang itulah yang menjadikan dirinya terus berusaha tanpa jemu untuk mempertingkatkan prestasi diri, masyarakat, negara dan tamadunnya.
Tamadun insan yang sebenarnya bukanlah semata-mata dibatasi oleh faktor geografi, budaya dan kehidupan ekonomi, sosial, politik tetapi unsur asas yang membangunkan tamadun manusia adalah kekuatan ilmu yang dimiliki oleh umat dalam sesuatu masyarakat.
“Aset terpenting pembangunan adalah insan berilmu yang dapat dimanfaatkan ilmunya untuk pembangunan keseluruhannya. Dengan demikian, usaha membangunkan budaya ilmu perlulah dilaksanakan pada semua peringkat dan dalam segala aspek kehidupan manusia. Natijah daripada pembangunan budaya ilmu akan menjelmakan segala pembangunan ekonomi, sosial dan politik yang sihat yang mensejahterakan umat yang berada di dalamnya,” kata beliau.
Dr Yusof berkata, perbincangan mengenai pemikiran dan ilmu adalah sesuatu yang ada hubungannya dengan kebahagiaan dan dalam konteks ini, kebahagiaan yang dimaksudkan itu tentulah kebahagiaan yang seimbang antara dunia dan akhirat.
Tanpa kebahagiaan yang seimbang, kebahagiaan yang dicari oleh manusia, dalam konteks ini – manusia Muslim – tentulah akan menjadi tempang. Ini kerana mengejar kekayaan dunia semata-mata atau sebaliknya hanya mengisi keilmuan agama semata-mata di dalam diri, tidak mampu menjana keilmuan yang abadi sebagai seorang hamba Allah.
“Apalah ertinya ilmu yang dimiliki sekiranya ia hanya membebankan pemiliknya. Sewajarnya ilmu bukan saja dapat membahagiakan diri pemiliknya, malah mereka yang berada dalam ufuk ilmu itu sendiri, termasuk keluarga, sahabat handai, masyarakat, negara dan tamadun keseluruhannya,” katanya.
Memiliki insan yang berilmu bererti memiliki insan yang bermaklumat.
Memiliki insan bermaklumat pula akan menjebakkan diri kepada perbezaan pandangan mengenai pendekatan untuk menyelesai dan membangunkan sesuatu program yang berfaedah.
Hanya dengan mempunyai mereka yang berjiwa besar, mereka yang mampu untuk berbeza pendapat dengan berpandu nilai adab dan akhlak yang tinggi, yang berpegang kepada falsafah hidup yang jelas, barulah kebahagiaan akan terjelma, jelasnya.
Apa yang diperkatakan oleh Dr Yusof ini mengingatkan saya pada secebis ceramah oleh Prof Mokhtar Lintang pada era 60-an yang berbunyi:
“Manusia sering mencari kebahagiaan tetapi malangnya dalam pencarian itu, manusia tidak pernah tahu di manakah alamat sebenar kebahagiaan yang dicarinya itu.”
No comments:
Post a Comment