Tuesday, April 21, 2009

Melayu jangan malu tutur bahasa sendiri


SESUDAH lebih 40 tahun merdeka, orang Melayu boleh dikatakan masih terus mencari jati diri dalam hal ehwal budaya, khususnya bahasa. Dalam soal bahasa, kita masih berdepan dengan pengaruh bahasa Inggeris yang terlalu kuat ‘kuasanya’ ke atas kita.

Psikologi malu bertutur Melayu, terutama pada majlis tertentu, masih membelenggu sebilangan orang Melayu sejak sebelum merdeka hingga sekarang.

Ramai antara kita kalau bercakap Melayu tanpa menyebut istilah Inggeris merasakan ayat yang diucapkan seperti ‘tidak sah’. Sejak 1960 sewaktu usia saya belasan tahun, saya selalu berdepan dengan kawan rakan dan masyarakat yang selalu menuturkan ayat seperti: “I ingat you all tak datang….”; “We all nak tahu juga how’s thing going on now..”; “Ok, don’t you ever say I tak suka you…” dan pelbagai lagi.

Kecenderungan mencampuradukkan bahasa ini akhirnya menjadikan bahasa Melayu dikenali sebagai apa yang disebut sekarang ‘bahasa rojak’. Sebenarnya keadaan dan suasana ini berterusan wujud kerana pelbagai punca. Antaranya, semangat kecintaan terhadap ‘harta budaya’ milik jati diri sendiri amat nipis dalam jiwa orang kita.

Inggeris mungkin sudah lama meninggalkan tanah air kita tetapi semangatnya terus-menerus dipupuk subur, terutama melalui golongan yang terus-terusan menjadi penyambung lidah mereka di negara kita.

British yang sekian lama menjajah kita memang arif mengenai latar budaya anak bangsa ini yang amat mudah terpengaruh dengan budaya asing. Walaupun zaman Inggeris sudah berlalu, mereka terus menyusupkan kesinambungan budaya mereka ke bekas tanah jajahannya.

Melalui keterbukaan media zaman ini, Inggeris atau Barat yang ingin terus menguasai dunia melalui konsep globalisasi tidak henti-henti mengutuskan propaganda budayanya ke alam Melayu. Meskipun kita sudah lebih 40 tahun merdeka, generasi ketiga dan keempat selepas merdeka di negara ini masih terus galak membumbui nilai budaya asing.

Menjadi sesuatu yang lebih malang lagi ialah sebilangan orang kita tidak yakin, bahkan malu bercakap bahasa sendiri kerana ia dianggap tidak lengkap dan serba lekeh belaka. Demikianlah kesan psikologi lekeh pada bahasa ibunda sendiri yang ditanam Inggeris kepada anak bangsa kita yang pernah dijajah mereka hampir 100 tahun.

Persoalan inilah yang dibangkitkan pensyarah Fizik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohd Yusof Othman pada Seminar Kebangsaan Sains dan Teknologi Dalam Pembinaan Tamadun 2004 anjuran Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) di Melaka, baru-baru ini.

Ketika membentangkan kertas kerja ‘Sains dan Teknologi: Tamadun Barat dan Cabaran Globalisasi’, Dr Yusof yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UKM, bertanya: “Hinakah kita menjadi Melayu?”

Soalan itu kemudian dijawabnya sendiri: “Tidak ada hinanya kita menjadi Melayu dan tidak ada hinanya kalau kita tidak bercakap orang putih”.

Dr Yusof bersetuju persepsi pemikiran Melayu terhadap bahasa dan budayanya sendiri harus diubah. Sudah melampaui masanya, kita sepatutnya sudah lama bangga terhadap budaya dan bahasa sendiri.

Kalau dikaji, budaya dan bahasa Melayu cukup tinggi peradabannya. Ia menjadi lingua franca kepada lebih 200 juta umat dunia. Bahasa Melayu bukan hanya dituturkan oleh orang Melayu di Malaysia tetapi meliputi seluruh kepulauan Melayu dan hampir seluruh pusat pengajian tinggi dunia mempunyai jabatan pengajian Melayu.

Kalau kita tidak lupa, pelbagai sarjana asing yang fasih berbahasa Melayu pernah muncul dalam media massa tempatan, mempamerkan betapa mereka menyanjung tinggi bahasa Melayu yang dianggap halus dan indah itu.

Anehnya, sebilangan anak bangsa kita sendiri berasa diri terlalu lekeh dan hina kalau bercakap Melayu. Inilah delima bangsa kita yang seharusnya mendapat perhatian sewajarnya daripada pelbagai pihak.

Tokoh budaya dan bahasa, Datuk Hassan Ahmad, amat yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila beliau menyatakan, pelbagai karya besar dunia dari Aristotle hingga Plato dan seumpamanya sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

“Bayangkan bahasa Melayu yang kecil kini dikuasai lebih 200 juta penduduk dunia. Kuasanya merentasi sempadan etnik secara luar biasa. Bahasa ini hendaklah dipupuk agar ia menjadi bahasa yang terus kuat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia berkata, bahasa Melayu bukan saja menjadi bahasa yang unggul dalam akademik tetapi juga dalam komponen kehidupan politik, ekonomi dan sosial.

Keunggulan bahasa Melayu seharusnya dipelihara, terutama oleh golongan yang memegang tampuk kekuasaan dalam pelbagai peringkat jurusan kehidupan.

Dalam hubungan ini, usaha murni seperti yang dilakukan oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, sebuah syarikat milik penuh kerajaan Melaka dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wilayah Selatan, menganjurkan Seminar Pembanterasan Bahasa Rojak mulai 8 hingga 9 Jun menjadi titik tolak yang cukup baik ke arah memelihara kemurnian dan keunggulan bahasa Melayu.

Ucaptama bertajuk ‘Bahasa Rojak Dan Kesannya Terhadap Citra Bangsa’ yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim sudah pasti mengandungi pelbagai petunjuk bagaimana pencemaran akan terus berlaku pada bahasa kita jika ia tidak dirawat segera.

Selain itu persoalan peranan media massa dalam memartabatkan bahasa Melayu menjadi agenda yang tidak kurang penting dalam seminar ke arah menimbulkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan memelihara bahasa Melayu daripada terus dirojakkan oleh bangsanya sendiri.

Soalan Dr Yusof itu wajar dipantak ke dalam pemikiran seluruh bangsa agar ia menjadi suatu titik menungan mendalam bagi kita semua.

Saya amat yakin apabila Dr Yusof menimbulkan soalan itu, ia tidak sama sekali mempertikaikan bahasa asing sebagai bahasa ilmu. Setiap anak bangsa seharusnya mengejar pelbagai ilmu dalam apa jua bahasa.

Kita tidak pernah menyempitkan pemikiran dengan sikap tidak mahu mempelajari bahasa itu kerana ia bukan bahasa kita. Bukan ini sikap yang perlu dibina dalam masyarakat kita sekiranya kita mahu maju tetapi apa yang penting ialah kita perlu menjaga dan mengutamakan bahasa Melayu dalam semua lapangan hidup di samping tidak mengabaikan tanggungjawab untuk mempertingkatkan ilmu melalui pelbagai bahasa di dunia.

Hal ini dipersetujui oleh Pensyarah bahasa Tionghua dari Universiti Malaya, Prof Madya Obaidellah Muhamad yang menyifatkan mempelajari bahasa asing itu penting tetapi ia tidak terhad kepada bahasa Inggeris semata-mata.

“Kalau boleh, kita perlu menterjemahkan semua buku ilmu dan buku sastera-budaya asing daripada pelbagai bahasa di dunia ke dalam bahasa Melayu. Dengan itu, bahasa kita akan menjadi suatu bahasa yang kaya dengan ilmu pengetahuan,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar Jabatan Terjemahan di DBP dihidup dan diaktifkan semula agar lebih banyak karya besar dunia dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Prof Obaidellah berkata, orang Melayu boleh mendapatkan pelbagai ilmu di dunia melalui kerja penterjemahan yang gigih oleh badan bahasa di negara kita sendiri.

Ilmu, amal pertingkat martabat manusia

Berita Harian
21 Jun, 2004
ms 11
Rencana

SEPANJANG zaman, ilmu menjadi penyuluh kehidupan dan penjana intelektual manusia ke arah kesejahteraan. Mengikut Islam, ilmu yang seimbang pula akan melorongkan manusia kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

Pengarah Pusat Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Yusof Othman, berkata bagi sarjana Barat, umumnya tingkah laku manusia adalah dijana oleh rangsangan yang diberikan oleh seseorang kepada suasana persekitarannya.

Justeru, wujud perbincangan yang hebat mengenai tingkah laku manusia seperti yang dikemukakan ahli psikologi Barat yang terkenal seperti Freud, Skinner, Carl Roger, Abraham Maslow dan lain-lain.

Dalam hubungan itu, kalangan sarjana Islam tidak menolak kajian yang dilakukan oleh sarjana Barat.

Namun, bagi sarjana Islam seperti Ibn Khaldun, al-Ghazali, Ibn Sina, Syed Hossein Nasr dan lain-lain, ilmu mempunyai hierarki tersendiri dan manusia mempunyai beberapa tingkatan intelek yang membolehkannya menjana tingkah lakunya kepada persekitaran seperti berjiwa sensitif, rasional dan menjadi ejen keintelektualan itu sendiri.

Dr Yusof berkata, setiap tahap intelek itu mempunyai fungsi yang tersendiri tetapi berada dalam jiwa yang satu yang membangunkan manusia. Ilmu dan pemikiran adalah dua elemen yang saling berhubung kait antara satu sama lain. Banyak persoalan, pendekatan yang berkisar kepada pro dan kontra sering diperkatakan mengenai hal ehwal pemikiran ini.

Dalam pada itu, katanya, kita juga turut gusar dengan pendekatan yang kadang kala menolak fungsi utama yang ada pada seseorang insan, yakni fungsi roh.

Dr Yusof yang juga profesor di Jabatan Fizik UKM berkata, pemikiran dalam konteks sarjana Barat hanya menekankan aspek intelektual dan kaedah berfikir yang diasaskan kepada pemikiran logik, mantik, rasional dan mengkesampingkan persoalan roh, malah sebahagian daripada mereka menolak langsung fungsi roh itu.

Akibatnya, bagi sebahagian sarjana Barat, pemikiran adalah unsur terpenting untuk mengeksploitasi segala apa yang ada di sekitarnya. Kaedah tertentu yang dimulai dengan aspek pemikiran digunakan dalam proses eksploitasi ini.

Dari aspek lain pula, jelasnya, sebahagian sarjana membataskan pemikiran hanya sebagai kegiatan minda yang beroperasi dalam tempurung kepala manusia.

Ahli neurologi, misalnya melihat bagaimana pemikiran terjana melalui proses penghantaran maklumat, pencernaan dan analisis dan bagaimana proses kognisi berlaku kepada diri seseorang insan.

Bagaimanapun, pada pandangan sarjana Islam, pemikiran tidak dapat dipisahkan daripada amalan yang memerlukan kepada tata kaedah pemikiran itu sendiri. Ini termasuk dalam tata kaedah berfikir yang menjana pemikiran adalah adab, akhlak dan nilai estetika serta etika tinggi yang berpaksi kepada tuntutan rohani.

Dr Yusof yang setakat ini menghasilkan hampir 20 buku ilmiah, termasuk sains fizik dan agama, berkata, ilmu yang dijanakan hasil daripada diri yang bersedia untuk melakukan proses berfikir, mendapatkan maklumat setepat mungkin dan memberikan makna terbaik kepada maklumat yang diperoleh dalam lingkungan tertentu, menjamin kelangsungan sesuatu ilmu itu agar terus berkembang subur.

Namun, hakikat sebenar manusia mendapatkan ilmu adalah untuk menentukan kebenaran hakikat mengenai kedudukan sesuatu perkara. Bagi sarjana Islam, ilmu bukan sekadar kedatangan maklumat kepada diri insan mengenai kedudukan sesuatu perkara.

“Orang berilmu bukan sekadar orang yang informatif, tetapi juga orang yang dapat memahami hakikat mengenai kedudukan sesuatu perkara, menghadirkan makna mengenai maklumat yang diperoleh berdasarkan falsafah dan lingkungan yang menghasilkan maklumat itu.

Melihat pelbagai aspek itu, sudah tentu kita dapat berasakan betapa ilmu itu terlalu penting dalam kehidupan insan. Ilmu tidak mempunyai sebarang erti kepada seseorang sekiranya ia tidak membantu orang itu berperanan dalam kehidupan di dunia ini” katanya.

Dr Yusof berkata, sewajarnya lebih banyak ilmu yang diperoleh seseorang, lebih tinggi fungsi yang dapat dimainkan untuk memakmurkan alam dalam lingkungan di mana seseorang itu berada.

Lebih menarik, Dr Yusof berkata, ilmu juga seharusnya dapat meningkatkan kerjaya seseorang.

Lebih lama seseorang itu menceburi sesuatu bidang kerjaya, lebih fahamlah dia mengenai kedudukan dirinya dalam perspektif pembangunan masyarakat keseluruhannya.

Malah, dalam aspek tertentu, dia juga dapat memahami peranan dirinya dalam memajukan sesebuah organisasi.

Sebagai penjana ilmu dan makhluk yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi Allah ini, manusia juga perlu tahu bagaimana cara dan kaedah untuk berusaha ke arah meningkatkan ilmu yang ada pada dirinya.

Sekiranya diterima bahawa maklumat itu asas kepada penjanaan dan peningkatan ilmu, maka usaha untuk mendatangkan maklumat sebanyak mungkin perlu dilaksanakan.

Oleh sebab pada masa yang sama manusia tidak boleh membebaskan dirinya daripada aspek kerohanian, maka usaha mendatangkan maklumat tidak boleh dipisahkan daripada usaha meningkatkan adab dan akhlak yang baik.

Ilmu dan sistem nilai mendatangkan maklumat kepada diri di samping untuk mengenali nilai terpuji, seseorang itu memerlukan pengalaman.

Di antara realiti yang ingin dicapai pada keadaan sebenar yang berada dalam lingkungan ilmu yang ingin ditingkatkan, ada pengalaman diri. Ini memerlukan hikmah.

Walaupun tidak dapat dinafikan hikmah adalah anugerah Allah kepada manusia, kegagalan manusia merealisasikan hakikat sebenar mengenai sesuatu perkara akan mencacatkan pembangunan keilmuan.

Saidina Ali pernah menyebut bahawa hikmah adalah ‘barang’ yang amat berharga yang mungkin hilang daripada umat sekiranya tidak diusahakan bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya

Dr Yusof berkata, walaupun secara unggulnya melalui ilmu yang dimiliki manusia inginkan kesempurnaan, tetapi kesempurnaan itu sendiri adalah keunggulan yang tidak mungkin dicapai sepenuhnya.

Dengan demikian, antara keunggulan yang ingin dicapai dan ketidaksempurnaan dan ketidakpuasan diri mengenai kedudukan suasana sebenar yang ada akan memungkinkan manusia untuk terus berusaha meningkatkan pencapaian diri, organisasi dan masyarakat mereka.

Rasa tidak puas hati dengan apa yang ada sewajarnya tidak mendatangkan kekecewaan kepada manusia, tetapi sebaliknya menjadikan manusia terus berusaha untuk mencapai keunggulan dan kesempurnaan yang diidamkan.

Ilmu sebenar yang dimiliki oleh seseorang itulah yang menjadikan dirinya terus berusaha tanpa jemu untuk mempertingkatkan prestasi diri, masyarakat, negara dan tamadunnya.

Tamadun insan yang sebenarnya bukanlah semata-mata dibatasi oleh faktor geografi, budaya dan kehidupan ekonomi, sosial, politik tetapi unsur asas yang membangunkan tamadun manusia adalah kekuatan ilmu yang dimiliki oleh umat dalam sesuatu masyarakat.

“Aset terpenting pembangunan adalah insan berilmu yang dapat dimanfaatkan ilmunya untuk pembangunan keseluruhannya. Dengan demikian, usaha membangunkan budaya ilmu perlulah dilaksanakan pada semua peringkat dan dalam segala aspek kehidupan manusia. Natijah daripada pembangunan budaya ilmu akan menjelmakan segala pembangunan ekonomi, sosial dan politik yang sihat yang mensejahterakan umat yang berada di dalamnya,” kata beliau.

Dr Yusof berkata, perbincangan mengenai pemikiran dan ilmu adalah sesuatu yang ada hubungannya dengan kebahagiaan dan dalam konteks ini, kebahagiaan yang dimaksudkan itu tentulah kebahagiaan yang seimbang antara dunia dan akhirat.

Tanpa kebahagiaan yang seimbang, kebahagiaan yang dicari oleh manusia, dalam konteks ini – manusia Muslim – tentulah akan menjadi tempang. Ini kerana mengejar kekayaan dunia semata-mata atau sebaliknya hanya mengisi keilmuan agama semata-mata di dalam diri, tidak mampu menjana keilmuan yang abadi sebagai seorang hamba Allah.

“Apalah ertinya ilmu yang dimiliki sekiranya ia hanya membebankan pemiliknya. Sewajarnya ilmu bukan saja dapat membahagiakan diri pemiliknya, malah mereka yang berada dalam ufuk ilmu itu sendiri, termasuk keluarga, sahabat handai, masyarakat, negara dan tamadun keseluruhannya,” katanya.

Memiliki insan yang berilmu bererti memiliki insan yang bermaklumat.

Memiliki insan bermaklumat pula akan menjebakkan diri kepada perbezaan pandangan mengenai pendekatan untuk menyelesai dan membangunkan sesuatu program yang berfaedah.

Hanya dengan mempunyai mereka yang berjiwa besar, mereka yang mampu untuk berbeza pendapat dengan berpandu nilai adab dan akhlak yang tinggi, yang berpegang kepada falsafah hidup yang jelas, barulah kebahagiaan akan terjelma, jelasnya.

Apa yang diperkatakan oleh Dr Yusof ini mengingatkan saya pada secebis ceramah oleh Prof Mokhtar Lintang pada era 60-an yang berbunyi:

“Manusia sering mencari kebahagiaan tetapi malangnya dalam pencarian itu, manusia tidak pernah tahu di manakah alamat sebenar kebahagiaan yang dicarinya itu.”

Mengkhutbahkan isu penjagaan alam sekitar

Oleh: Tajuddin Saman

USAHA membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan memulihara alam sekitar terus dipergiatkan secara intensif oleh pihak yang bertanggungjawab, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.


Baru-baru ini dalam kempen kesedaran melalui Minggu Alam Sekitar Kebangsaan 2006, satu pendekatan khas bagi memenuhi tujuan itu dilaksanakan menerusi mimbar khutbah Jumaat di semua masjid di seluruh negara.

Kandungan teks khutbah itu disediakan tokoh agama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kerjasama antara Jabatan Alam Sekitar dan Jakim tentunya akan membuahkan hasil yang amat positif.

Jakim mempunyai banyak input mengenail hal ehwal alam sekitar menurut pandangan Islam. Justeru, kerjasama antara Jakim dan JAS pasti akan memantapkan lagi usaha ke arah membangkitkan kesedaran masyarakat, khususnya di kalangan umat Islam sendiri.

Umat Islam sewajarnya merasakan diri masing-masing bertuah kerana agama kita amat mementingkan kebersihan diri dan alam sekitar.

Sebagaimana yang disarankan dalam khutbah khas itu, kita harus menghargai setiap pemberian nikmat daripada Allah yang menjadi keperluan asas bagi kehidupan dengan sebaik mungkin, terutama nikmat air, udara, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan ciptaan lain sebagai pelengkap kepada kelangsungan kehidupan manusia di muka bumi ini.

Manusia diamanahkan sebagai ‘khalifah’ untuk memikul tanggungjawab mengurus dan mengatur alam ini dengan baik di samping mengguna pakai segala keperluan untuk urusan kehidupan masing-masing secara berhemah tanpa melanggar segala batasan yang digariskan oleh Allah dalam al-Quran dan hadis Rasulullah.

Allah berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya. Dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan berharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.”

Namun, manusia tetaplah manusia. Naluri dan langkah perbuatannya tetap berbeza antara satu dengan lain. Ada antara kita yang bersedia mengikuti lunas yang digariskan Islam manakala tidak kurang pula yang terlupa hakikat diri dan kehidupan yang sementara di dunia ini lalu melakukan segala-galanya berpandukan permintaan nafsu semata-mata.

Justeru, hari ini masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, air, pembuangan sisa toksik, penebangan hutan tidak terkawal, pengurangan sumber bumi dan seumpamanya menyebabkan berlaku dan hilangnya ketidakseimbangan kepada alam sekitar itu sendiri.

Permasalahan ini kian menjadi ancaman kepada manusia dan alam. Ia juga menjadi topik perbincangan yang semakin hangat diperkatakan pelbagai lapisan masyarakat.

Persoalan ini asalnya bermula daripada sikap tamak dan lalai manusia sendiri - tidak kira sama ada ia sikap seorang pekerja biasa atau pengusaha firma yang mengeluarkan bahan mencemarkan alam sekitar atau pembuat dasar yang akan turut memberi kesan tertentu kepada alam kita ini.

Pengabaian sikap manusia terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar itu boleh menjurus kepada timbulnya ‘krisis’ yang terpaksa ditanggung bebannya oleh semua orang.

Ironinya ialah pelaku yang ‘mengancam dan memusnahkan’ alam sekitar itu mungkin hanya 000.1 peratus sahaja tetapi yang terpaksa menanggung risikonya ialah seluruh penduduk, termasuk flora dan fauna serta segala isi alam anugerah Allah ini.

Hakikat inilah yang menyebabkan pihak yang bertanggungjawab mengambil pelbagai pendekatan untuk membangkitkan kesedaran umum terhadap soal pemuliharaan alam sekitar.

Kita tidak boleh lagi menganggap persoalan ini sebagai perkara remeh-temeh dan tidak perlu diberikan perhatian mendalam.

Sebaliknya, bayangkan apa akan terjadi kalau sungai kita penuh dengan keladak sampah-sarap, sisa toksik dan semakin kering kontang? Kalau ini terjadi, di mana kita mahu mencari air untuk diminum dan untuk kegunaan lain?

Ketika ini keadaan berkenaan belum terjadi lagi dan sungai kita, walaupun ada yang tercemar tetapi kita masih lagi boleh ‘bermewah-mewah’ menggunakan airnya tetapi sekiranya semua ini tidak dijaga dan dirawat dengan baik serta betul, segala kemungkinan boleh saja berlaku.

Justeru, sebelum terhantuk, eloklah kita tengadah dahulu tetapi kalau sudah berlaku, perkataan apa pun tidak mungkin boleh mengubatinya lagi.

Waktu itu, kita mungkin tidak mahu menyalahkan diri sendiri, tetapi dalam keadaan sedemikian kelak (jika ia terjadi), keadaan yang terbalik mungkin berlaku iaitu ‘diri kita akan menyalahkan kita’ kerana selama hidup ini kita sentiasa menganggap soal pemuliharaan alam sekitar ini sebagai perkara yang remeh-temeh atau perkara ‘main-main’ saja.

Hal ini mengingatkan penulis kepada sinopsis filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee ‘Pendekar Bujang Lapok’ di mana anak gadis guru silat pak guru Wak Mustarjo dilarikan perompak. Waktu dia mengejar perompak itu, dia terserempak dengan Ramlee, Aziz dan Sudin yang kebetulan masa itu sedang ‘bertapa’ di tanah kuburan itu.

Melihat muridnya, Wak Mustarjo segera memaklumkan apa yang terjadi. Malangnya ketiga-tiga murid itu menjawab: “Cobaan!!”

Apakah nanti kalau air di sungai kita benar-benar penuh keladak sampah, sisa toksik dan segala macam bahan buangan lain, kita juga akan menjerit perkataan yang sama? Adegan filem dan realiti kehidupan tentu banyak bezanya.

Sumber: Harian Metro Online (Minda)

Mengkhutbahkan isu penjagaan alam sekitar

Oleh: Tajuddin Saman

USAHA membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan memulihara alam sekitar terus dipergiatkan secara intensif oleh pihak yang bertanggungjawab, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.


Baru-baru ini dalam kempen kesedaran melalui Minggu Alam Sekitar Kebangsaan 2006, satu pendekatan khas bagi memenuhi tujuan itu dilaksanakan menerusi mimbar khutbah Jumaat di semua masjid di seluruh negara.

Kandungan teks khutbah itu disediakan tokoh agama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kerjasama antara Jabatan Alam Sekitar dan Jakim tentunya akan membuahkan hasil yang amat positif.

Jakim mempunyai banyak input mengenail hal ehwal alam sekitar menurut pandangan Islam. Justeru, kerjasama antara Jakim dan JAS pasti akan memantapkan lagi usaha ke arah membangkitkan kesedaran masyarakat, khususnya di kalangan umat Islam sendiri.

Umat Islam sewajarnya merasakan diri masing-masing bertuah kerana agama kita amat mementingkan kebersihan diri dan alam sekitar.

Sebagaimana yang disarankan dalam khutbah khas itu, kita harus menghargai setiap pemberian nikmat daripada Allah yang menjadi keperluan asas bagi kehidupan dengan sebaik mungkin, terutama nikmat air, udara, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan ciptaan lain sebagai pelengkap kepada kelangsungan kehidupan manusia di muka bumi ini.

Manusia diamanahkan sebagai ‘khalifah’ untuk memikul tanggungjawab mengurus dan mengatur alam ini dengan baik di samping mengguna pakai segala keperluan untuk urusan kehidupan masing-masing secara berhemah tanpa melanggar segala batasan yang digariskan oleh Allah dalam al-Quran dan hadis Rasulullah.

Allah berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya. Dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan berharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.”

Namun, manusia tetaplah manusia. Naluri dan langkah perbuatannya tetap berbeza antara satu dengan lain. Ada antara kita yang bersedia mengikuti lunas yang digariskan Islam manakala tidak kurang pula yang terlupa hakikat diri dan kehidupan yang sementara di dunia ini lalu melakukan segala-galanya berpandukan permintaan nafsu semata-mata.

Justeru, hari ini masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, air, pembuangan sisa toksik, penebangan hutan tidak terkawal, pengurangan sumber bumi dan seumpamanya menyebabkan berlaku dan hilangnya ketidakseimbangan kepada alam sekitar itu sendiri.

Permasalahan ini kian menjadi ancaman kepada manusia dan alam. Ia juga menjadi topik perbincangan yang semakin hangat diperkatakan pelbagai lapisan masyarakat.

Persoalan ini asalnya bermula daripada sikap tamak dan lalai manusia sendiri - tidak kira sama ada ia sikap seorang pekerja biasa atau pengusaha firma yang mengeluarkan bahan mencemarkan alam sekitar atau pembuat dasar yang akan turut memberi kesan tertentu kepada alam kita ini.

Pengabaian sikap manusia terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar itu boleh menjurus kepada timbulnya ‘krisis’ yang terpaksa ditanggung bebannya oleh semua orang.

Ironinya ialah pelaku yang ‘mengancam dan memusnahkan’ alam sekitar itu mungkin hanya 000.1 peratus sahaja tetapi yang terpaksa menanggung risikonya ialah seluruh penduduk, termasuk flora dan fauna serta segala isi alam anugerah Allah ini.

Hakikat inilah yang menyebabkan pihak yang bertanggungjawab mengambil pelbagai pendekatan untuk membangkitkan kesedaran umum terhadap soal pemuliharaan alam sekitar.

Kita tidak boleh lagi menganggap persoalan ini sebagai perkara remeh-temeh dan tidak perlu diberikan perhatian mendalam.

Sebaliknya, bayangkan apa akan terjadi kalau sungai kita penuh dengan keladak sampah-sarap, sisa toksik dan semakin kering kontang? Kalau ini terjadi, di mana kita mahu mencari air untuk diminum dan untuk kegunaan lain?

Ketika ini keadaan berkenaan belum terjadi lagi dan sungai kita, walaupun ada yang tercemar tetapi kita masih lagi boleh ‘bermewah-mewah’ menggunakan airnya tetapi sekiranya semua ini tidak dijaga dan dirawat dengan baik serta betul, segala kemungkinan boleh saja berlaku.

Justeru, sebelum terhantuk, eloklah kita tengadah dahulu tetapi kalau sudah berlaku, perkataan apa pun tidak mungkin boleh mengubatinya lagi.

Waktu itu, kita mungkin tidak mahu menyalahkan diri sendiri, tetapi dalam keadaan sedemikian kelak (jika ia terjadi), keadaan yang terbalik mungkin berlaku iaitu ‘diri kita akan menyalahkan kita’ kerana selama hidup ini kita sentiasa menganggap soal pemuliharaan alam sekitar ini sebagai perkara yang remeh-temeh atau perkara ‘main-main’ saja.

Hal ini mengingatkan penulis kepada sinopsis filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee ‘Pendekar Bujang Lapok’ di mana anak gadis guru silat pak guru Wak Mustarjo dilarikan perompak. Waktu dia mengejar perompak itu, dia terserempak dengan Ramlee, Aziz dan Sudin yang kebetulan masa itu sedang ‘bertapa’ di tanah kuburan itu.

Melihat muridnya, Wak Mustarjo segera memaklumkan apa yang terjadi. Malangnya ketiga-tiga murid itu menjawab: “Cobaan!!”

Apakah nanti kalau air di sungai kita benar-benar penuh keladak sampah, sisa toksik dan segala macam bahan buangan lain, kita juga akan menjerit perkataan yang sama? Adegan filem dan realiti kehidupan tentu banyak bezanya.

Sumber: Harian Metro Online (Minda)

Wartawan, Penulis dan Jurufoto Dipelawa Daftar PKWPMM

17/3/2009 3:23:28 PM

Pengirim: Samsudin Bin Oli Mohamed


JITRA – Wartawan, penulis, jurufoto, pemberita sambilan, bekas wartawan dan penulis blog melayu samada media cetak ataupun media elektronik dipelawa mendaftar sebagai ahli dalam Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia (PKWPMM) bagi menyatu dan melindungi kepentingan golongan ini samada dalam bentuk kebajikan ataupun pekerjaan.

Presiden pertama PKWPMM Dr Alias Mohamed berkata, penubuhannya ialah untuk memperjuangkan hak dan nasib mereka dalam arena kewartawanan dan juga penulisan.

Katanya walaupun Gapena dan Pena telah mewakili badan penulis namun ruang lingkup yang luas seperti bekas wartawan dan jurufoto atau wartawan sambilan juga perlu diletakkan ditahap yang tinggi kerana mereka juga memainkan peranan yang sama cuma tidak dilantik sebagai kakitangan tetap dalam sesebuah syarikat akhbar.

Menyentuh mengenai aktiviti yang telah dirancang dan akan dijalankan dalam pertubuhan ini beliau berkata pihak jawatankuasa telah bermesyuarat dan mengariskan beberapa aktiviti antaranya mengadakan landasan kegiatan inetelektual, sosial, aktiviti penulisan, forum, seminar, mengadakan kunjungan dan menjalinkan hubungan dengan wartawan dan penulis melayu di negara-negara Asean khususnya.

“Seperkara yang menarik lagi keuntungan dan hasil daripada wang yang dikumpul oleh pertubuhan ini akan digunakan untuk memberi peluang kalangan ahlinya untuk menimba ilmu atau untuk memajukan diri mereka,”katanya lagi.

Dr Alias berkata, penyertaan untuk menjadi ahli terbuka kepada semua orang melayu yang menjadi wartawan, penulis, jurufoto, bekas wartawan atau jurufoto, penulis blog dimana-mana akhbar, majalah atau internet samada sebagai ahli biasa, ahli bersekutu atau ahli kehormat.

Pihaknya juga mengalu-alukan penyertaan dikalangan intelek atau mana-mana organisasi yang ingin turut serta dan memajukan pertubuhan ini.

Bagi kalangan pelajar untiversiti dan kolej-universiti mereka juga boleh diterima sebagai ahli tetapi perlu mendapat kebenaran secara bertulis dari Naib Canselor atau Rektor mereka mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Mesyuarat Agung pertamanya yang dirasmikan oleh Perunding Kanan ISIS Tan Sri Dato’ Mazlan Nordin di Universiti Malaya baru-baru ini juga menyaksikan Dr Alias Mohamed telah dilantik sebagai Presiden pertama PKWPMM.

Turut dilantik Mior Kamarulbaid Mior Shahid (Timbalan Presiden), Mohd Salleh Anjah (Setiausaha Agung), Tajuddin Saman (Bendahari Agung), Jamudin Idris (Penolong Setiausaha Agung) dan ahlijawatankuasa lain yang dilantik ialah Abdul Rahim Abdullah (Agama) Rahamah Saad, Md Radzi Mustapha (Politik), M.Hanafiah A. Samad (ekonomi), Abdul Manan Oshman, Wan Ahmad Wan Hassan, Azhar Kasim (Budaya), Endut Mat Ali, Saad Nordin, Samsudin Oli Mohamed (Pendidikan), Mohamad Ibrahim dan Rahim Lajis.

Sempena mesyuarat agungnya tiga ahli panel turut dijemput untuk membincangkan forum “Peranan Media Kerajaan dan Media Swasta Dalam Memperkasakan Agenda Negara” iaitu Pensyarah, Pusat Pengajian Media dan komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Norila Mohd Daud, Penulis Blog Zaharin Mohd Yasin dan di Pengerusikan oleh Datuk Ahmad Rejal Arbee.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi ahli pertubuhan ini boleh menghubungi 03-92831316 /03-92822903 (Kuala Lumpur), 019-4502088 (Pulau Pinang), 012-4493938 (Kedah), 017-4009323 (UUM / Perlis) dan 012-5304137 (UUM / Kedah).

Daripada:
Samsudin Bin Oli Mohamed
Pengerusi Biro Pendidikan
PKWPMM
Tel: -017-4009323

Hiroshima Seperti Dilanggar Garuda

- Berita Harian (Perspektif): Jumaat 1, Disember 1989, hal.1,14
Oleh: Tajuddin Saman

Hiroshima dalam kenangan Cikgu Razak

Lebih 40 tahun lalu, seorang anak Melayu tidak pernah menduga akan diberi penghormatan begitu tinggi dan kisah hidupnya yang terbabit dalam peristiwa ledakan bom atom di Hiroshima pada 1945, akan dirakamkan dalam bentuk filem dokumentasi oleh kerajaan Negara Matahari Terbit itu. Kini, filem yang berjudul Hiroshima Dalam Ingatanku sudah diterbitkan dan ditayangkan kepada umum dalam bahasa Jepun di negara itu. Anak Melayu bertuah itu ialah Haji Abdul Razak bin Abdul Hamid, 67, juga dikenali sebagai Cikgu Razak.



Sempena memperingati ulang tahun ke-43 peristiwa ngeri ledakan bom atom di Hiroshima, Perbadanan Penyiaran Jepun (NHK) menayangkan filem dokumentari kisah hidup Cikgu Razak yang kini menjadi Syed Omar Alsagoff dan Nik Yusof Ali, terkorban dalam "letupan kiamat" itu.

Ketika itu Cikgu Razak berusia 20 tahun. Oleh kerana dia satu-satunya insan dari Malaya yang masih hidup dan boleh berbicara mengenai Waga Kokoro No Hiroshima atau Hiroshima Dalam Ingatanku, maka dia adalah khazanah bangsa yang amat bernilai.

Hanya bangsa yang besar tahu menyanjung dan menghormati tokoh serta pemimpin negaranya sendiri. Bertolak daripada penilaian itu, Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan (PSMWP) berusaha mengundang Haji Abdul Razak mencurahkan pidato "pengalaman satu dalam sejuta" itu kepada orang ramai dalam siri Ceramah Tun Dr Ismail (CTDI) ke-VI di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Setiausaha PSMWP, Drs Hanafiah Sudin, berkata sempena siri ceramah itu, PSMWP mencapai lima rumusan dan cadangan, iaitu:
  • Akan membuat salinan alih bahasa filem Hiroshima Dalam Ingatanku daripada bahasa Jepun ke bahasa Melayu
  • Cuba mendapatkan kerjasama Kedutaan Jepun untuk menerbitkan memoir Cikgu Razak untuk disebarkan ke sekolah-sekolah sebagai bacaan umum dan antarabangsa, termasuk di Jepun;
  • Akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada `Malaysian Physicians For The Prevention of Nuclear War' untuk memberikan khidmat bantuan dan penerangan, khususnya kepada murid sekolah dan orang ramai mengenai bahaya nuklear serta langkah positif yang perlu diambil untuk mencegah penciptaan dan rekaan teknologi yang boleh mengancam dan memusnahkan tamadun manusia; dan
  • Akan membuat cadangan kepada Duta Besar Malaysia di Jepun untuk mengadakan Majlis Tahlil/Tafakur di pusara Allahyarham Nik Yusof Ali dan Syed Omar yang menjadi korban bom atom di Hiroshima, setiap kali tibanya fajar 6 Ogos.
Mengenai Cikgu Razak, kisahnya memang sudah tersebar luas. Antara koleksi buku yang menyorot kisah hidupnya ialah buku Debu Hiroshima karya pensyarah Jabatan Persuratan Melayu UKM, Othman Putih [SIC], yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1987).

Ketika memperkenalkan tokoh itu di majlis CTDI, Drs Hanafiah berkata, pada saat atom meledak, semua jarum jam di Hiroshima terhenti tepat 8.15 pagi, bukan kerana letupan tetapi ia sememangnya terhenti sejak beberapa hari lalu dan tiada usaha memperbaikinya.

Berjuta-juta mata sempat melihat awan tebal berbentuk cendawan raksasa berwarna putih dan ungu menjulang tinggi. Dalam sekelip mata, asap itu menyambar Hiroshima. Manusia bertempiaran lari, berteriak, menjerit kesakitan dan kehausan.

Ekoran ledakan itu, menyusul pula letupan amat dahsyat. Bumi bagaikan bergerak kerana gempa, lantai bangunan kayu tempat mereka berpijak bergegar, bumbung bangunan runtuh dan ranap menyembah bumi.

Cikgu Razak dan Pengiran Yusuf tiba-tiba ditimbuni serpihan kayu. Apabila Cikgu Razak tersedar, dia mendapati alam sekitar menjadi sempit, gelap-gulita, sesak dan mengerikan. Kepalanya luka, berdarah dan menyakitkan. Demikian gambaran 44 tahun lalu.

"Cikgu Razak masih hidup dan sejahtera. Dia sahajalah di antara anak Melayu yang merantau mencari ilmu di Jepun ketika itu yang masih hidup dan dapat membicarakan pengalaman getir itu," katanya.

Sewaktu menceritakan Aku dan Debu-Debu Hiroshima, ingatan Cikgu Razak melayang ke tahun 1943. Kisah menggerunkan itu dihuraikan satu demi satu. Lebih 500 hadirin terpaku.

Kehendak Allah sudah demikian. Waktu bom atom digugurkan, Cikgu Razak dan dua rakannya, Allahyarham Nik Yusof dari Kelantan dan Allahyarham Syed Omar dari Johor, ada di Hiroshima.

Ketiga-tiga anak Melayu itu dihantar ke Jepun oleh tentera Jepun yang memerintah Malaya pada 1943 untuk belajar di Kokusai Gakuyukai, Tokyo (Institut Pelajar Antarabangsa, Tokyo). Pada 1944, mereka ke Hiroshima Bunri Daigaku (Universiti Hiroshima).

Pada 1940-41, sebelum melanjutkan pelajaran ke Jepun, Cikgu Razak menjadi guru pelatih di Sekolah Melayu Ulu Klang. Beliau berhenti apabila Jepun memasuki Malaya pada 1941.

Beliau kemudian dipilih mengikuti kursus bahasa Jepun selama tiga bulan di Sekolah Melayu Francis [SIC] Road (kini Sekolah Rendah Kebangsaan Raja Muda Aziz). Apabila tamat kursus, beliau dilantik menjadi pegawai pelajaran bahasa Jepun dan diminta menyusun sukatan pelajaran sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Pada peringkat awal, Cikgu Razak belajar bahasa Jepun selama enam bulan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka yang menjadi markas tentera Jepun dan di situ beliau serta beberapa rakan, termasuk Tan Sri Eusoffe Abdelcader [SIC] (Hakim), Allahyarham Nik Yusof Ali dan Syed Omar, belajar bersama-sama.

Ketika di Jepun, beliau bertemu dan berkenalan dengan Pangiran Yusoff (bekas Menteri Besar Brunei Darussalam, kini masih hidup). Mereka sering melihat kapal perang pengebom B29 Tentera Udara Amerika Syarikat yang menghujani bom ke atas bandar itu.

Suatu hari, sebuah pesawat Amerika berlegar-legar di angkasa bandar Hiroshima sambil menggugurkan risalah yang bermaksud `Jepun akan hancur jika tidak menyerah segera'.

Risalah itu menimbulkan ketegangan di kalangan penduduk Hiroshima. Pada 6 Ogos, 1945, sebutir bom dengan kepanasan suhunya mencapai 300,000 darjah celsius meranapkan sebahagian besar Hiroshima.

Ketika itu, Cikgu Razak dan teman mahasiswa Universiti Hiroshima sedang mengikuti kuliah matematik manakala rakan lain ada di asrama. Kira-kira jam 8.15 pagi, sebaik sahaja gurunya, Kiyoshi Toda (masih hidup berusia 82 tahun dan menjadi Profesor Pelawat) memulakan kelas, beliau melihat cahaya dari cermin tingkat kelas seperti kilat meluncur laju dan serentak itu, terdengar dentuman seperti halilintar membelah bumi.

Sekaligus, pemandangan ketika itu penuh gebu dan bandar itu seperti di langgar garuda, menjadi padang jarak, padang terkukur.

Cikgu Razak berkata: "Kulit dan badan mangsa yang terkena bom radioaktif, menggelupas seperti udang kena bakar, muka bengkak, rambut dan pakaian terbakar, kalau ada pun, tinggal tali pinggang daripada kulit dan jam tangan sahaja."

Nik Yusuf, kawan karib Cikgu Razak, menjadi mangsa radioaktif dan tidak dapat dikesan manakala Syed Omar yang sempat lari ke Kyoto untuk mendapatkan rawatan, meninggal dunia dua minggu kemudian.

"Ketika inilah baru saya sedar betapa besarnya kuasa dan hikmah Allah, hingga tanpa diduga, saya terselamat daripada bencana malapetaka amat dahsyat dan menggerunkan itu." katanya.

Cikgu Razak dilahirkan di Pulau Pinang pada 1925. Pernah mengajar bahasa Melayu di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (kini Institut Perguruan Sultan Idris).

Pada 1984, iaitu sesudah 44 tahun selepas Jepun menyerah kalah pada 1945, Cikgu Razak diberi penghormatan mengunjungi Jepun. Beliau diberi peluang mengikuti kursus lanjutan bahasa Jepun di Universiti Waseda dan tempat lamanya di Universiti Hiroshima, selama enam bulan.